58 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di Nigeria
AFP
Februari 11, 2016 08:53 MYT
Februari 11, 2016 08:53 MYT
Sekurang-kurangnya 58 maut selepas dua pengebom bunuh diri melakukan serangan di sebuah kem pelarian di Nigeria yang menempatkan mereka yang hilang kediaman ekoran kebangkitan kumpulan Boko Haram .
Kejadian berlaku awal pagi Selasa di Dikwa, 90 kilometer dari Borno, ibu kota wilayah Maiduguri dan membangkitkan kebimbangan kemungkinan kumpulan Boko Haram kembali mengganas di negara itu selain keselamatan mereka yang tinggal di kem itu terancam.
Naib Presiden, Yemi Osinbajo yang mewakili Presiden Muhammadu Buhari yang sedang bercuti, melahirkan rasa marah dengan kejadian itu dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengecewakan apabila dilakukan oleh mereka yang tidak berperasaan dan menjadikan pelarian sebagai sasaran.
Beliau berjanji akan memburu mereka yang bertanggung jawab selain mengarahkan kawalan ketat di sekitar kem terbabit bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.
Agensi Pengurusan Bencana Borno sebelum itu memaklumkan kepada AFP yang 35 mayat telah ditemui di kem yang menempatkan 53,000 orang itu, manakala 78 yang lain cedera.
Namun angka kemudiannya meningkat kepada 58 orang.
Hasil siasatan awal mendapati sebelum itu terdapat tiga wanita yang menyamar sebagai pelarian tiba di kem terbabit.
Dua daripada mereka bertindak meletupkan diri namun wanita ketiga enggan melakukannya selepas mendapati keluarganya berada di kem terbabit.
Dia kemudiannya menyerahkan diri.