57 peratus pekerja wanita sektor teknologi akui alami diskriminasi - Kajian

Umavathi Ramayah
Mei 18, 2021 07:33 MYT
Hampir 48 peratus responden wanita turut mengakui diskriminasi itu berlaku dari segi kemampuan teknikal mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih 57 peratus daripada wanita yang bekerja dalam bidang teknologi di Amerika Syarikat didapati mengalami diskriminasi di tempat kerja berbanding pekerja lelaki.
World Economic Forum yang memetik kajian yang dilakukan sebuah laman web kerjaya Dice memaklumkan, kajian yang membabitkan 9,000 responden dari sektor teknologi itu turut mendedahkan hanya 10 peratus pekerja lelaki yang mengalami 'penindasan' itu.
Hampir 48 peratus responden wanita turut mengakui diskriminasi itu berlaku dari segi kemampuan teknikal mereka, yang mana disifatkan dua kali ganda berbanding responden lelaki.
Malah, laporan Equality in Tech itu turut mendapati peratusan reponden wanita yang tidak berpuas hati dengan ganjaran yang diperoleh adalah lebih tinggi mereka berbanding pekerja lelaki.
Responden wanita yang tidak berpuas dengan jurang gaji dilihat mengatasi responden lelaki dengan enam peratus.
Pun begitu, mereka juga dilihat lebih bijak merunding gaji ketika mendapat pekerjaan baharu, iaitu 44 peratus.
Kajian yang sama juga mendedahkan responden berkulit hitam cenderung 'dibuli' dengan 48 peratus daripada mereka mengakui terpaksa melalui diskriminasi.
Ini diikuti responden Hispanik atau Latino (30 peratus), Asia (25 peratus), India Asia (23 peratus) dan responden 'Mat Salleh' hanya sembilan peratus.
Ditanya mengenai tahap kepuasan kerjaya, 63 peratus daripada responden wanita mengatakan mereka 'agak' berpuas hati berbanding 68 peratus pekerja lelaki.
#Kajian #diskriminasi #World Economic Forum #Equality in Tec #jurang gaji #responden wanita
;