53 dihantar pulang kerana terbabit rusuhan di Little India

Bernama
Disember 18, 2013 08:35 MYT
Lima puluh dua orang warga India dan seorang rakyat Bangladesh akan dihantar pulang ke negara asal mereka berikutan pembabitan dalam rusuhan 8 Dis di Little India.
Polis berkata 53 orang itu diberkas dalam operasi seluruh pulau awal Isnin.
Mereka diberi amaran tegas pihak polis berserta perintah pengusiran imigresen, dan akan dihantar pulang tidak lama lagi.
Kini mereka ditahan di Penjara Admiralty West, yang digunakan sebagai depo imigresen, sementara aturan perjalanan mereka disiapkan.
Sebelum mereka berlepas, pegawai-pegawai dari Kementeran Tenaga Manusia kini berusaha menyiapkan bayaran gaji terakhir mereka dengan majikan, penutupan akaun bank dan prosedur pentadbiran lain.
Di persidangan akhbar pada tengah hari Selasa, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, berkata 53 orang itu yang dikenalpasti oleh polis telah menyertai rusuhan tersebut gagal bersurai walaupun polis memerintahkan berbuat demikian.
Beliau berkata tindakan dan tingkah laku mereka telah mengancam ketenteraman awam, dengan itu kehadiran mereka di Singapura "tidak diingini".
Pesuruhjaya Polis Ng Joo Hee berkata kedutaan-kedutaan berkenaan telah diberitahu tentang tindakan pihak berkuasa dan mereka mempunyai akses konsular sepenuhnya kepada warga negara mereka.
Jumlah 53 orang itu diambil bekerja oleh 48 syarikat berlainan di Singapura.
Ng berkata tuduhan terhadap tujuh daripada asalnya 35 orang yang dibawa ke mahkamah sebelum ini akan ditarik balik.
Daripada tujuh itu, empat diberikan amaran keras oleh polis, sementara tidak ada tindakan selanjutnya diambil terhadap tiga selebihnya.
Pada akhir urusan hari ini, Ng berkata, bilangan orang yang dituduh terbabit dengan rusuhan akan disemak kepada 28. Mereka dituduh memain peranan aktif dalam insiden itu.
#rakyat Bangladesh #rusuhan Little India #Singapura
;