52 doktor diterbangkan ke lokasi nahas kereta api Mesir

Astro Awani
Mac 26, 2021 06:55 MYT
Orang ramai membantu mangsa selepas dua kereta api bertembung di Mesir. - Foto REUTERS/Khaled Hasan
SOHAG: Dua pesawat membawa 52 doktor, kebanyakannya pakar bedah dihantar ke Sohag, Mesir.
Ia selepas dua gerabak kereta api bertembung pada Jumaat yang mengorbankan 32 nyawa serta mencederakan 165 yang lain.
Pihak berkuasa Kereta Api Mesir memaklumkan, terdapat individu yang disyaki mengaktifkan brek kecemasan lalu menyebabkan dua gerabak bertembung sama sendiri sebelum tergelincir dan terbalik.
Namun, Perdana Menteri Mustafa Madbouly memaklumkan, punca kejadian masih belum diketahui.
Selain itu katanya Presiden Abdel-Fattah el-Sissi telah mengarahkan siasatan dimulakan segera bagi mencari punca nahas berkenaan.
“Beliau arah penubuhan jawatankuasa teknikal dan pemantauan dan dua jawatankuasa itu telah memulakan tugas.
“Berkaitan siasatan jenayah, peguam negara Mesir serta pasukan teknikal pendakwa raya telah memulakan siasatan di lokasi kejadian untuk mencari punca nahas ini,” katanya.
Kereta api penumpang itu dalam perjalanan ke pelabuhan dekat Iskandariah, di utara Mesir.
Lebih 100 ambulan dihantar ke lokasi kejadian bagi menghantar kesemua mangsa ke empat hospital untuk rawatan lanjut.
Pengurusan Kereta Api Mesir mempunyai sejarah kemalangan yang buruk, disebabkan penyelenggaraan yang lemah.
Antara yang terburuk direkodkan adalah pada 2002, menyebabkan 373 penumpang terkorban.
#Nahas #kereta api #Mesir #Doktor #brek kecemasan
;