51 tahun diculik, akhirnya wanita ini bersatu dengan keluarga kandung
Astro Awani
Disember 1, 2022 12:01 MYT
Disember 1, 2022 12:01 MYT
TEXAS: SEORANG wanita yang dipercayai diculik sejak 51 tahun lalu berjaya disatukan semula dengan keluarganya di Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat.
Ketika kejadian mangsa, Melissa Highsmith berusia 22 bulan dilaporkan diculik oleh seorang pengasuh pada tahun 1971.
Memetik laporan media antarabangsa, keluarga wanita itu berkata mangsa yang kini dikenali sebagai Melanie Brown telah tinggal di Fort Worth sepanjang hidupnya.
Bapa kandung Melanie, Jeff Highsmith telah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum mengetahui wanita itu mempunyai pertalian dengannya.
Bercakap kepada media, Melissa mengakui perasaannya bercampur baur selepas mengetahui perkara tersebut.
"Ia bercampur kegembiraan dan ketakutan... ketakutan, teruja dan hanya cuba memahami (apa yang berlaku)," ujarnya.
Sementara itu, Jeff berkata, dia dan keluarga tidak pernah berputus asa mencari anak perempuannya itu.
"Selama bertahun-tahun, kami melakukan beberapa cara.
"Kami akan pergi ke setiap negeri berbeza. Kami akan pergi dan bercakap dengan gadis yang berbeza, membuat DNA dan harapan kami tidak pernah musnah. Ia adalah sukar," akuinya.
Menurut Pusat Kebangsaan untuk Kanak-kanak Hilang dan Eksploitasi, pada tahun 1971 ibu kandung Melanie, Alta Apantenco membuat iklan mencari pengasuh di sebuah akhbar selepas berpindah ke Fort Worth.
Seorang wanita kemudian 'berminat' dengan iklan berkenaan dan berkunjung ke rumah Apantenco bagi melihat bayi perempuan itu.
Suspek dikatakan membawa lari Melissa pada 23 Ogos 1971.
Dalam pada itu, Jabatan Polis Fort Worth dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengemas kini hasil ujian DNA bagi mengesahkan identiti wanita itu.
Siasatan berhubung kes penculikan berkenaan masih dijalankan.