51 peratus mahu waktu kerja fleksibel - Kajian

Astro Awani
Mei 9, 2022 10:15 MYT
Selepas dua tahun bekerja dalam situasi pandemik, pekerja kini mendambakan fleksibiliti yang lebih besar apabila melibatkan waktu kerja mereka. -Gambar hiasan/Dagang News
SELEPAS dua tahun bekerja dalam situasi pandemik, pekerja kini mendambakan fleksibiliti yang lebih besar apabila melibatkan waktu kerja mereka.
Perkara itu didedahkan dalam laporan Adobe, yang menyaksikan sebanyak 51 peratus pekerja perusahaan menginginkan pengaturan kerja yang fleksibel.
Laporan yang dijalankan pada 2021 bertajuk ‘The Future of Time’ itu melibatkan kajian di tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Perancis, Jerman serta Jepun.
Berdasarkan kajian yang membabitkan 5,500 responden itu, pekerja di Jerman merupakan kumpulan yang paling berminat untuk menerima waktu kerja yang fleksibel, dengan 56 peratus responden menyokongnya.
Pekerja Jerman juga merupakan kumpulan dengan peratusan tertinggi yang menjalani gaya hidup fleksibel pada masa ini, iaitu sebanyak 39 peratus.
Sementara itu, Jepun merekodkan peratusan terendah memiliki waktu kerja fleksibel dengan hanya 12 peratus.
Malah, sebanyak 48 peratus responden di negara matahari terbit itu menyatakan mereka ingin bekerja dengan cara yang kurang ketat pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, kajian tersebut turut menyatakan generasi muda dilihat lebih mengambil berat terhadap jadual kerja mereka.
Ia ditunjukkan apabila 73 peratus kumpulan milenial menyatakan mereka akan menukar pekerjaan yang lebih fleksibel jika gaji dan skop kerja masih kekal sama.
#waktu kerja fleksibel #bekerja dalam situasi pandemik #laporan Adobe #generasi muda
;