50 terbunuh, 53 cedera dalam tembakan rambang Orlando - Datuk Bandar
Agensi
Jun 12, 2016 22:56 MYT
Jun 12, 2016 22:56 MYT
Lima puluh orang terbunuh dan 53 yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan merampas tebusan di sebuah kelab malam gay di Florida, kata polis pada Ahad.
Kejadian itu menjadikannya kes tembakan paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat.
"Kami telah memeriksa bangunan dan adalah menyedihkan bukan 20 yang kita temui tetapi 50 mayat yang dijumpai di sebelah penembak.
“53 lagi telah dimasukkan ke hospital,” kata Datuk Bandar Orlando Buddy Dyer dalam satu taklimat ringkas bersama media.
Sebelum ini dianggarkan sejumlah 20 orang maut di sebuah kelab malam dan bar yang popular untuk golongan gay di sini, selepas insiden seorang penyerang bersenjata cuba menjadikan mereka tebusan pada awal Ahad.
Dalam keadaan cemas, pihak berkuasa turut menerima pesanan ringkas daripada pelanggan bar berkenaan, lantas membuatkan sepasukan anggota Pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) menyerbu lokasi itu, lapor AFP.
“Malang sekali, terdapat mereka yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan antara penyerang dan anggota polis, lebih kurang 20 orang kesemuanya, di dalam kelab hiburan tersebut,” ujar ejen FBI, Ron Harper.
Penyerang bersenjata itu turut terbunuh dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, kira-kira 42 orang cedera dalam insiden itu dan mereka telah digegaskan ke tiga buah hospital.
"Ini sudah menjadi situasi tawanan. Katika jam 5 pagi, kami membuat keputusan untuk menyelamatkan tebusan yang masih di dalam premis,” ujar Ketua Polis Orlando, John Mina.
Masih belum jelas sama ada semua mangsa ditembak secara langsung oleh penyerang itu atau ada beberapa yang mati sewaktu kejadian tembak-menembak dengan polis.