50 rakyat Filipina tinggalkan Sudan melalui jalan darat

Bernama
April 25, 2023 19:44 MYT
Terdapat kira-kira 700 rakyat Filipina di Sudan namun, hanya kira-kira 300 orang yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan Sudan. - Gambar fail/ Reuters
MANILA: Sebuah bas yang membawa kira-kira 50 rakyat Filipina telah pun meninggalkan Khartoum, ibu negara Sudan, menuju ke utara dekat dengan sempadan Mesir, kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina pada Selasa.
"Sehingga 8 malam waktu Manila semalam, kumpulan pertama (kira-kira 50 rakyat Filipina) meninggalkan Khartoum melalui jalan darat," kata jurucakap Teresita Daza, lapor Xinhua.
Beliau berkata kumpulan itu kemudian akan akan dibawa ke Aswan City sebelum meneruskan perjalanan ke Kaherah, ibu negara Mesir.
Timbalan Setiausaha Luar Filipina Eduardo de Vega dalam satu wawancara dengan stesen radio pada hari Selasa berkata Kedutaan Filipina di Kaherah akan menyediakan penginapan dan tiket kapal terbang.
De Vega berkata terdapat kira-kira 700 rakyat Filipina di Sudan namun, hanya kira-kira 300 orang yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan Sudan.
-- BERNAMA
#Filipina #konflik Sudan #operasi bawa keluar rakyat #Khartoum
;