50 militan IS terbunuh di Kobani dalam tempoh 24 jam

AFP
November 30, 2014 21:14 MYT
Seramai 11 pejuang Kurdish turut terkorban dalam tempoh sama di Kobani, bersama-sama pejuang Syria yang menyokong tentera Kurdish.
Sekurang-kurangnya 50 ahli militan Negara Islam (IS) maut sepanjang tempoh 24 jam dalam pertempuran, pengeboman berani mati dan serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Kobani, Syria, lapor AFP hari ini.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memberitahu, jumlah kematian itu adalah antara kiraan tertinggi sejak ia dimulakan dan menjalankan serangan terhadap bandar strategik tersebut di sempadan Turki pada September.
Badan pemantau yang berpangkalan di Britain itu memberitahu, sekurang-kurangnya lima yang terbunuh merupakan pengebom berani mati dengan dua daripadanya terlibat dalam serangan di lintasan sempadan yang memisahkan Kobani daripada Turki.
Lagi 11 orang juga terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang Kurdish Kobani dan kumpulan pejuang lain di sempadan, namun angka kematian sepenuhnya tidak dicatatkan.
Pada masa sama, seramai 11 pejuang Kurdish turut terkorban dalam tempoh sama di Kobani, bersama-sama pejuang Syria yang menyokong tentera Kurdish.
IS mula memasuki Kobani pada 16 September dengan perancangan mahu segera menawan bandar kecil di sempadan tersebut, seterusnya mengukuhkan cengkamannya di sepanjang sempadan Syria-Turki.
Pada satu ketika, IS dilihat hampir berjaya mencapai sasarannya, namun tentera Kurdish yang disokong serangan udara AS dan tentera Kurdish Iraq memberikan tentangan hebat kepada IS.
Buat masa ini, bandar Kobani kekal terbahagi kepada zon yang dikuasai IS dan Kurdish.
#IS #Kurdish #militan #negara Islam #Pejuang #sempadan #Syria #Turki
;