50 maut dalam serangan bunuh diri di Nigeria

Agensi
November 21, 2017 05:35 MYT
Boko Haram didakwa melakukan serangan itu berikutan serangan seumpamanya yang dilancarkan sejak bertahun lamanya. - AP
Sekurang-kurangnya 50 maut dalam satu serangan bom bunuh diri di sebuah masjid di timur laut bandar Mubi, Adamawa, Nigeria pada Selasa.
Jurucakap polis Othman Abubakar memberitahu The Associated Press, pihaknya sedang mengenal pasti jumlah mangsa cedera susulan mereka dihantar ke beberapa hospital berdekatan.
Serangan dilakukan seorang remaja ketika beramah mesra dengan jemaah usai solat Subuh.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, namun polis percaya serangan didalangi puak pelampau Boko Haram.
Boko Haram didakwa melakukan serangan itu berikutan serangan seumpamanya yang dilancarkan sejak bertahun lamanya.
Malah mereka meningkatkan serangan dengan menggunakan remaja atau wanita muda yang kebanyakannya diculik.
Sehingga kini tiada respons segera dari kerajaan Nigeria ataupun tentera berkaitan insiden tersebut.
Tentera Nigeria beberapa bulan sebelum ini mendakwa berjaya menawan kubu Boko Haram.
Akhir tahun lalu, Presiden Muhammadu Buhari juga mendakwa puak pelampau itu telah dihapuskan namun ia ternyata tidak benar.
Boko Haram dipersalahkan atas 20,000 kematian semasa pemberontakan hampir sedekad, yang menyaksikan jutaan penduduk melarikan diri ke negara-negara jiran dan mewujudkan krisis kemanusiaan yang kritikal.
#Boko Haram #bom bunuh diri #masjid #Nigeria
;