50 kanak-kanak mangsa pedofil antarabangsa diselamatkan

Agensi
Mei 24, 2019 15:37 MYT
Pihak penyiasat Interpol mengambil masa hampir dua tahun untuk mengesan gerakan jenayah terhadap kanak-kanak. - Gambar hiasan
POLIS antarabangsa (Interpol) berjaya mematahkan sindiket pedofil sekali gus menyelamatkan 50 kanak-kanak yang menjadi mangsa pelaku yang mempunyai tarikan seksual terhadap golongan itu.
Dalam operasi Blackwrist, Interpol turut melakukan tangkapan ke atas sembilan individu yang disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan di Thailand, Australia dan Amerika Syarikat.
Interpol bagaimanapun, menjangkakan terdapat lebih 100 kanak-kanak lagi yang menjadi mangsa jenayah itu dan sedang berusaha mengenal pasti identiti mereka.
Pihak penyiasat Interpol mengambil masa hampir dua tahun untuk mengesan gerakan terancang itu.
Menurut laporan portal berita BBC, siasatan terhadap sindiket berkenaan digerakkan sejak 2017 melibatkan pencarian di "dark web" yang sudah diakses oleh 63,000 orang di seluruh dunia menggunakan perincian sulit.
Pihak berkuasa juga mengesan modus operandi sindiket tersebut adalah dengan memuat naik gambar lucah kanak-kanak yang terlibat setiap minggu serta menyembunyikan muka mangsa agar sukar dikenal pasti pihak polis.
Antara suspek yang ditahan Interpol ialah pentadbir utama laman web tersebut, Montri Salangam yang ditahan di Thailand serta rakannya, Ruecha Tokputza yang diberkas di Australia.
Kedua-duanya ditahan pada tahun lalu.
Salangam telah dijatuhi hukuman penjara 146 tahun setelah didapati bersalah kerana mendera anak saudaranya.
Sementara Tokputza pula dihukum 40 tahun penjara setelah mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan mendera kanak-kanak secara seksual di Australia.
BACA: 'Pesalah paling keji' dipenjara 40 tahun kerana dera kanak-kanak secara seksual
#50 kanak-kanak mangsa pedofil antarabangsa diselamatkan #Amerika Syarikat #Australia #Interpol #Kanak-kanak #pedofil #Thailand
;