50,000 rumah runtuh dalam gempa bumi di Maghribi

Bernama
September 15, 2023 11:40 MYT
Pemandangan rumah runtuh di kawasan perkampungan Douzrou yang terkesan akibat gempa yang melanda Maghribi. - Foto REUTERS
RABAT: Sekurang-kurangnya 50,000 rumah ranap atau runtuh sebahagian dalam gempa bumi di Maghribi pada Jumaat.
Susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Raja Mohammed VI, Mahkamah Diraja Maghribi, dalam kenyataan berkata kerajaan akan memberikan bantuan kecemasan bernilai 30,000 dirham (kira-kira AS$3,000) kepada keluarga yang terjejas akibat gempa bumi itu, lapor Agensi Anadolu.
Bantuan kewangan langsung sebanyak 140,000 dirham (kira-kira $14,000) akan diberikan untuk rumah yang roboh sepenuhnya dan 80,000 dirham (kira-kira AS$8,000) untuk rumah yang sebahagiannya runtuh, menurut kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya 2,946 orang terbunuh dan 5,674 lagi cedera dalam gempa bumi berukuran tujuh pada skala Richter yang melanda Maghribi pada Jumaat.
Gempa bumi itu adalah yang paling kuat melanda negara Afrika Utara itu dalam tempoh seabad, menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.
-- BERNAMA
#gempa bumi #rumah runtuh #bantuan kecemasan #Afrika Utara
;