5 warga China maut dalam nahas pesawat di Thailand

Bernama
Ogos 23, 2024 09:40 MYT
Foto dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam Chachoengsao menunjukkan pasukan penyelamat bekerja di lokasi pesawat kecil terhempas di wilayah Chachoengsao, Thailand, 22 Ogos 2024. (Foto AP)
BANGKOK: Lima warganegara China disahkan maut dalam nahas pesawat ringan di wilayah Chachoengsao, timur Thailand pada Khamis, menurut kedutaan China di Thailand kepada Xinhua, memetik pihak berkuasa Thailand.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan selepas pesawat yang membawa dua juruterbang dan tujuh penumpang itu terhempas di hutan paya bakau sekitar 3.10 petang waktu tempatan.
Pesawat itu dilaporkan dalam perjalanan ke wilayah pantai timur Trat, kata Gabenor Chachoengsao Chonlatee Yangtrong.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand, pesawat Cessna Caravan C208B penerbangan TFT 209 yang dikendalikan oleh Thai Flying Service terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara sebelum hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.
-- BERNAMA
#nahas pesawat ringan #Thailand #warganegara China #pesawat terhempas