5 pemacu pembangunan ASEAN pasca-pandemik COVID-19 - Kajian
Astro Awani
Oktober 17, 2021 21:27 MYT
Oktober 17, 2021 21:27 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya dalam setahun, didorong pandemik COVID-19, dunia telah mengalami perubahan dramatik menyebabkan perubahan ketara dalam cara hidup dan bekerja.
Namun, ketika negara-negara di seluruh dunia berusaha untuk menangani virus tersebut, banyak yang mula memikirkan untuk kembali bangkit semasa pasca pandemik itu.
Menerusi Laporan Penjanaan Digital ASEAN yang melibatkan 86,000 orang dari enam negara ASEAN, lima perkara penting digariskan sebagai kunci persiapan ASEAN kembali bangkit.
Laporan itu dikeluarkan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) dan SEA, sebuah syarikat internet pengguna global yang berpusat di Singapura.
1. Perjalanan panjang ke dunia baharu
Hampir 70 peratus responden menjangkakan wabak itu akan berlanjutan selepas 2021, dengan 39 peratus menjangkakan bahawa wabak itu akan berlanjutan selama 3 tahun atau lebih lama dan 13 peratus percaya bahawa wabak itu tidak akan pernah berakhir.
Namun begitu, hampir dua pertiga berpendapat bahawa kehidupan akan jauh berbeza berbanding zaman pra-pandemik.
Ini mungkin tidak mengejutkan memandangkan kesan besar wabak itu terhadap kehidupan mereka.
Sebanyak 60 peratus individu melaporkan penurunan pendapatan dan simpanan, dengan lebih dari 40 peratus mengatakan bahawa ini adalah kemerosotan yang ketara.
Di luar kesan ekonomi, ramai responden, terutama wanita melaporkan kemerosotan kesihatan sosial, mental dan fizikal semasa wabak tersebut.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, sejumlah responden dapat menyesuaikan diri dengan keadaan mereka yang berubah-ubah, dengan 27 peratus daripada mereka telah membuat perniagaan baharu semasa pandemik ini.
Trend ini paling ketara di kalangan mereka di sektor perdagangan borong dan runcit dengan 50 peratus daripadanya melakukan perkara yang sama.
2. Penjagaan kesihatan, masyarakat lebih peduli dan adaptasi teknologi
Harapan dan ketakutan generasi digital ASEAN jelas menggambarkan cabaran yang mereka hadapi semasa wabak ini melanda.
Responden meramalkan masa depan dengan kesihatan yang lebih baik, masyarakat yang lebih prihatin dan penggunaan teknologi digital yang lebih besar, dinyatakan sebagai perkara yang paling penting semasa pasca-pandemik.
Responden turut berpandangan bakal wujudnya masyarakat yang lebih prihatin, sebagai cerminan kepada kehidupan bermasyarakat yang saling menyokong sepanjang waktu mencabar ini.
3. Digitalisasi sebagai pemacu pemulihan ekonomi
Satu penemuan yang konsisten sepanjang tinjauan adalah bagaimana responden percaya teknologi akan memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan mereka dan juga ekonomi secara amnya.
Sebagai contoh, 85 peratus responden terutama wanita dan pemilik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menganggap digitalisasi penting untuk pemulihan ekonomi.
Secara purata, sekitar 43 peratus hingga 66 peratus responden ingin lebih mendigitalkan kehidupan mereka.
Bagi pemilik PMKS, keinginan itu lebih besar iaitu 51 hingga 76 peratus.
Menariknya, 70 hingga 86 peratus responden yang sudah menjadi pengguna aktif digital, mereka ingin meningkatkan tahap digitalisasi.
Ini adalah perbezaan yang ketara berbanding dengan 15 hingga 32 peratus mereka yang kurang aktif.
4. Keperluan mengatasi halangan penggunaan digital
Lebih daripada separuh responden sifatkan akses internet yang berpatutan dan berkualiti sebagai kekangan utama mereka yang mana menjadi perkara yang konsisten di kebanyakan negara.
Halangan utama lain yang dikenal pasti adalah tahap kemahiran digital, termasuk kurangnya keyakinan dan pemahaman penggunaan.
Kekangan ini amat ketara bagi pengguna digital yang kurang aktif atau yang masih dalam tahap awal penggunaan teknologi selain mereka yang belum memahami faedahnya.
Bagi pengguna yang lebih aktif, kebimbangan beralih dari kemahiran digital kepada menuju kepercayaan dan keselamatan.
5. Menjadi bukti masa depan
Generasi digital ASEAN turut menyenaraikan tiga kemahiran terpenting untuk kembali bangkis pasca semasa pasca pandemik.
Walaupun kemampuan untuk menggunakan teknologi berada di tangga teratas, ia diikuti dengan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kreativiti dan inovasi, disiplin diri dan ketahanan serta kemampuan menyesuaikan diri.
Semasa pandemik ini, ramai akui berlaku peningkatan kemahiran digital yang amat ketara.
Peralihan ini berlaku antara generasi kerana remaja (berumur 16-35 tahun) lebih cenderung menjadi "guru", sementara mereka yang lebih tua cenderung menjadi "pelajar".
Walaupun 38 peratus responden menganggap kreativiti dan inovasi sebagai kemahiran penting, namun hanya 26 peratus menganggap diri mereka mahir.
Ini memberi gambaran jelas berkenaan keperluan mendesak untuk inisiatif meningkatkan kemahiran dilaksanakan untuk memastikan generasi digital ini dilengkapi untuk dunia pasca pandemik dan seterusnya.