5 maut selepas pesawat kecil terhempas di Hutan Amazon Brazil

Bernama
Ogos 16, 2024 11:50 MYT
Tentera Udara Brazil berkata pakar dari Pusat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronautik telah dihantar ke Apiacas untuk menyiasat punca nahas berkenaan. - Gambar hiasan
SAO PAULO: Lima orang maut pada Khamis apabila sebuah pesawat enjin berkembar terhempas di sebuah ladang di bandar Apiacas, Hutan Amazon di negeri Mato Grosso, barat Brazil.
Mangsa yang terkorban ialah Arni Spiering, pemilik perniagaan tani dan bekas presiden Kelab Sukan Union, dua cucunya, seorang pekerja syarikatnya dan juruterbang pesawat, menurut laporan GloboNews Brazil yang dipetik daripada Polis Militar.
Pesawat King Air berkembar yang mempunyai kapasiti untuk tujuh orang itu sedang dalam perjalanan ke bandar Rondonopolis dari Pousada Amazonia Fishing Lodge yang eksklusif sebelum ia terhempas dan meletup sejurus perlanggaran, menurut agensi berita itu.
Tentera Udara Brazil berkata pakar dari Pusat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronautik telah dihantar ke Apiacas untuk menyiasat punca nahas berkenaan.
Nahas berlaku kurang seminggu selepas sebuah pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Voepass terhempas di bandar Vinhedo, di tenggara Sao Paulo, yang mengorbankan kesemua 62 orang di dalam pesawat itu.
-- BERNAMA
#Brazil #hutan Amazon #pesawat terhempas #angka korban