5 maut dalam serangan di pusat jagaan kanak-kanak Brazil

Astro Awani
Mei 5, 2021 00:52 MYT
Suasana di pekarangan premis itu amat memilukan apabila ibu bapa mangsa tidak dapat menahan kesedihan selain marah dengan tindakan penyerang. -AP
SAUDADES: Tiga kanak-kanak dan dua pekerja sebuah pusat jagaan kanak-kanak maut selepas ditikam seorang remaja dalam kejadian pada Selasa.
Seorang guru wanita dan pembantu pendidikan antara yang maut dalam insiden ngeri di Saudades, di selatan Brazil itu, lapor Reuters.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, remaja yang dilapor berusia 14 tahun itu menyerbu masuk ke pusat jagaan tersebut dan mula menyerang kanak-kanak dan orang dewasa di situ.
Polis yang dimaklumkan tentang insiden bergegas ke lokasi dan berjaya menahan remaja terbabit yang cuba mencederakan dirinya sendiri.
Sementara itu, Setiausaha Pendidikan Perbandaran Gisela Hermann berkata kanak-kanak lain yang trauma dengan kejadian akan dimasukkan ke hospital.
Suasana di pekarangan premis itu amat memilukan apabila ibu bapa mangsa tidak dapat menahan kesedihan selain marah dengan tindakan penyerang.
Polis Chapeco memaklumkan sedang menyiasat kes berkenaan.
#pusat jagaan kanak-kanak #tikam kanak-kanak #kanak-kanak maut #Saudades #kejadian ngeri #remaja serbu pusat jagaan #Gisela Hermann #Brazil #Chapeco