5 maut, 13 cedera kereta rempuh pejalan kaki di China
Astro Awani
Januari 12, 2023 07:00 MYT
Januari 12, 2023 07:00 MYT
GUANGZHOU: Sekurang-kurangnya lima maut dan 13 lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh pejalan kaki yang sedang melintas jalan di China.
Kejadian berlaku ketika waktu puncak pada jam 5.25 petang di sebuah persimpangan sibuk di Guangzhou pada petang Rabu.
Video yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan SUV hitam jenama BMW itu merempuh pejalan kaki di dua lintasan berasingan di Tiyu East Road dan Tianhe Road.
Sebuah lagi video menunjukkan pemandunya melempar wang tunai keluar dari kenderaannya selepas berhenti di tepi jalan.
Sementara itu, seorang saksi dipetik sebagai berkata suspek dilihat 'sengaja' memandu keretanya ke arah pejalan kaki.
Dia turut dilihat berhenti untuk membuat pusingan U, dan terus memandu ke arah pejalan kaki lain.
Suspek kemudian memberhentikan keretanya di tepi jalan, keluar dari kenderaan, dan mula melempar wang kertas 100 yuan ke udara.
Suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis.
Polis memaklumkan suspek hanya dikenali sebagai Wen berusia 22 tahun dan siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan.