49 pendatang maut nahas treler terbalik ketika cuba masuk AS
Sinar Harian
Disember 10, 2021 11:17 MYT
Disember 10, 2021 11:17 MYT
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 49 pendatang haram yang dipercayai mahu menuju ke Amerika Syarikat (AS) maut pada Khamis di Mexico selepas trak yang mereka naiki melanggar tembok penahan dan terbalik di negeri Chiapas.
Seramai 40 orang lagi cedera, tiga daripadanya serius, menurut laporan awal daripada pendakwa raya di Chiapas, negeri Mexico yang bersempadan dengan Guatemala dan tempat transit utama pendatang tanpa izin yang cuba memasuki AS.
Pemandu itu dipercayai memandu laju sebelum dia hilang kawalan ke atas kenderaan tersebut di sebuah lebuh raya yang menghubungkan bandar Chiapa de Corzo dengan ibu negeri, Tuxtla Gutierrez.
Warganegara mangsa-mangsa yang terbunuh masih belum didedahkan.
Pendatang haram itu dilaporkan bersembunyi di dalam trak tersebut.
Gabenor negeri, Rutilio Escandón menyatakan solidaritinya dengan mangsa-mangsa kejadian itu.
"Saya telah memberi arahan untuk mereka yang cedera mendapat perhatian dan bantuan segera," katanya menerusi Twitter seperti dilaporkan oleh AFP.
“Penguatkuasaan undang-undang akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya. - Agensi
*Berita asal di Sinar Harian