48 tahanan Iran dibebaskan

Astro Awani
Januari 10, 2013 17:20 MYT
Seramai 48 tahanan Iran yang ditahan oleh kumpulan anti kerajaan Syria sejak Ogos tahun lalu dibebaskan.
Sebagai pertukaran, lebih 2,000 tahanan termasuk 73 wanita yang ditahan oleh rejim Syria dibebaskan.
Rakyat Iran itu dibebaskan selepas berbulan-bulan rundingan melibatkan Qatar dan Turki serta Agensi Bantuan Kemanusiaan di negara terbabit dijalankan.
Mereka diculik di luar Damsyik lima bulan lalu, selepas didakwa terbabit membantu tentera rejim.
Namun tuduhan itu disangkal oleh Tehran.
Oktober lalu, Briged Al Bara iaitu kumpulan yang menculik rakyat Iran itu, mengugut akan membunuh semua tebusan berkenaan kecuali kerajaan Syria membebaskan tahanan di kalangan pembangkang.
Bagaimanapun ia dihalang oleh Qatar.
Pertukaran pembebasan tahanan ini adalah yang terbesar sejak protes anti kerajaan menentang Bashar Assad diadakan.
Sebelum ini beberapa pertukaran tahanan dilakukan namun ia hanya melibatkan sekumpulan kecil tahanan.
#48 tahanan dibebaskan #Bashar Assad #Iran #Syria #Tentera Rejim
;