48 jam hilang, 4 warga Australia, 2 Indonesia ditemui masih hidup di perairan Aceh
Bernama
Ogos 15, 2023 20:45 MYT
Ogos 15, 2023 20:45 MYT
JAKARTA: Empat pelancong Australia dan dua warga Indonesia yang hilang selama dua hari di perairan republik itu ditemui masih hidup pada Selasa selepas bot mereka terputus hubungan ketika cuaca buruk, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik pegawai.
Tiga daripada empat warga Australia itu ditemui terapung dengan berpaut pada papan luncur mereka di luar Kepulauan Banyak di wilayah Aceh Indonesia, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Octavianto.
Seorang rakyat Indonesia ketiga masih hilang, kata Octavianto.
Mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan 17 orang yang menaiki dua bot laju dari Pulau Nias ke Pinang Resort, destinasi meluncur dan menyelam popular, pada petang Ahad, katanya.
Satu daripada bot dinaiki 10 orang memutuskan untuk berteduh di sebuah pulau kecil kerana hujan lebat dan angin kencang.
Namun sebuah bot lain dinaiki tujuh orang meneruskan perjalanan tetapi tidak sampai ke pusat peranginan itu.
Kakitangan pusat peranginan kemudiannya melaporkan bot yang hilang itu kepada agensi mencari dan menyelamat tempatan sekitar 10 malam pada Ahad yang melancarkan operasi mencari.
--BERNAMA-dpa