47 termasuk dua kanak-kanak maut bas bertembung di Zimbabwe
Agensi
November 8, 2018 10:25 MYT
November 8, 2018 10:25 MYT
Sekurang-kurangnya 47 orang maut dalam satu kemalangan melibatkan dua buah bas di Zimbabwe pada petang Rabu, kata agensi berita Xinhua News China.
Jurucakap polis Paul Nyathi memberitahu Xinhua bahawa pertembungan itu berlaku berhampiran Rusape di wilayah Manicaland, 156 kilometer dari ibu kota Harare.
Nyathi berkata 47 orang telah disahkan mati dan punca kemalangan itu masih dalam siasatan.
"Kami mengesahkan bahawa 47 orang telah disahkan meninggal dunia di laluan 156 km selepas tol di Rusape. Kami masih menyiasat punca kemalangan itu berlaku," katanya.
Daripada 47 orang, 45 orang dewasa dan dua kanak-kanak, kata Nyathi.
Kemalangan itu melibatkan dua bas, yang dimiliki oleh Bolt Cutter dan Smart Express masing-masing dua syarikat bas jarak jauh.
Nyathi berkata polis masih menyiasat kejadian itu dan angka kematian dijangka meningkat.