47 pendaki terkandas di Gunung Marapi

Bernama
Disember 4, 2023 18:37 MYT
Awan abu dengan cepat menutupi kawasan seluas tiga kilometer dari kawah puncak Gunung Marapi, mengakibatkan hujan abu dan batu jatuh di pelbagai tempat di daerah Agam.
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 47 pendaki terkandas berikutan letusan gunung berapi di Sumatera Barat pada Ahad, menurut jurucakap agensi bencana negara BNPB Abdul Muhari.
Beliau berkata 19 pendaki berjaya turun dengan bantuan penyelamat, manakala 28 lagi masih terperangkap di gunung setinggi 2,891 meter itu, yang kali terakhir meletus pada Januari.
Awan abu dengan cepat menutupi kawasan seluas tiga kilometer dari kawah puncak Gunung Marapi, mengakibatkan hujan abu dan batu jatuh di pelbagai tempat di daerah Agam.
"Pasukan penyelamat bersama sedang giat mencari dan membantu mereka yang masih berada di gunung," katanya dalam satu kenyataan.
Agensi pengurusan bencana di Agam dan Tanah Datar meminta orang ramai, pelancong dan pendaki supaya memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada abu gunung berapi.
Pelancong dan pendaki juga dilarang melakukan aktiviti dalam radius tiga kilometer dari kawah utama.
#gunung berapi #gunung marapi #pendaki terkandas #pendaki maut
;