Malaysia berada di landasan untuk jadi negara berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini - AMRO

Bernama
April 8, 2024 06:45 MYT
Malaysia yang digelar Lembah Silikon Timur dijangka menarik lebih banyak industri semikonduktor pada masa depan. - Gambar hiasan/ Bernama
SINGAPURA: Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini, menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).
Ketua Ahli Ekonomi, Hoe Ee Khor berkata, negara itu disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan sektor pembuatan yang rancak terutama dalam industri semikonduktor.
"Jika anda melihat kepada aliran masuk FDI ke Malaysia sejak beberapa tahun lepas, terdapat peningkatan pada 2021 dan 2022. Justeru, perkara itu akan mula muncul dalam bentuk pelaburan sebenar dalam beberapa tahun akan datang.
"Kami yakin selagi kerajaan Malaysia mengekalkan disiplin fiskal dan monetari, aliran masuk pelaburan baharu dari luar negara akan dapat membantu melonjakkan kadar pertumbuhan dan mencapat tahap pendapatan tinggi," katanya semasa taklimat media secara maya sempena penerbitan laporan 'ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2024' oleh AMRO, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, Malaysia yang digelar Lembah Silikon Timur dijangka menarik lebih banyak industri semikonduktor pada masa depan dan menjadi penerima manfaat utama daripada peningkatan kitaran semikonduktor yang dijangka melonjak pada akhir tahun ini.
Sementara itu, Ketua Kumpulan AMRO, Allen Ng berkata, adalah munasabah untuk menjangkakan bahawa Malaysia dapat mengatasi penanda aras Bank Dunia bagi KDNK nominal per kapita kira-kira AS$13,000 bagi ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, walau bagaimanapun, Malaysia seperti juga negara lain di rantau ini, terus menghadapi cabaran struktur seperti kebimbangan demografik, pertumbuhan produktiviti serta tahap kemahiran tenaga kerja, dan semua kebimbangan itu perlu ditangani. - BERNAMA
#Malaysia #ekonomi malaysia #negara berpendapatan tinggi #AMRO
;