46 warga Indonesia mangsa pemerdagangan dibawa pulang, termasuk bekas ahli DPRD

Bernama
Februari 21, 2025 04:20 MYT
46 mangsa pemerdagangan manusia itu datang dari sembilan provinsi dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat. - Gambar hiasan
TANGERANG: Seorang bekas ahli undangan daerah Indramayu Jawa Barat (DPRD) adalah antara 46 mangsa pemerdagangan manusia Indonesia yang dibawa pulang ke Indonesia dari Myawaddy, Myanmar, pada petang Khamis.
Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia Kementerian Luar Negeri Judha Nugraha pada Jumaat berkata 46 mangsa pemerdagangan manusia itu datang dari sembilan provinsi dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat.
"Kami juga mengesahkan yang salah seorang daripada 46 pekerja migran yang diselamatkan adalah bekas ahli DPRD Daerah Indramayu dengan namanya bermula dari huruf R ," dedahnya, lapor agensi berita ANTARA.
Pegawai kementerian itu berkata rakyat Indonesia yang diselamatkan itu dan dilaporkan diseksa ketika ditahan di Myanmar, dihantar pulang melalui satu daripada dua penerbangan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada lewat Khamis dan awal Jumaat.
Sambil memuji sumbangan positif Kedutaan Besar Indonesia di Myanmar, Nugraha berkata proses membawa pulng pekerja migran Indonesia dari Myawaddy "adalah proses yang panjang."
Beliau turut mengesahkan yang 270 rakyat Indonesia masih berada di Myawaddy dan Kementerian Luar akan terus berusaha untuk membawa mereka pulang ke tanah air.
"Kami akan memulakan siasatan terperinci untuk menyiasat pihak yang membantu mereka ke luar negara sejak awal dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," tegas Nugraha.
Sementara itu, Rinardi, ketua pengarah perlindungan Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia berkata 46 rakyat Indonesia yang diselamatkan, akan menjalani penilaian di kemudahan Kementerian Hal Ehwal Sosial selepas dihantar pulang.
"Selepas semua proses selesai, kami akan membantu menghantar mereka pulang ke kampung halaman di bawah pemantauan Kementerian Hal Ehwal Sosial," katanya.
-- BERNAMA
#mangsa #pemerdagangan manusia #Indonesia #Myanmar #DPRD
;