45 maut selepas bot sarat muatan terbalik di Nigeria
Bernama
September 15, 2024 05:45 MYT
September 15, 2024 05:45 MYT
LAGOS: Sekurang-kurangnya 45 orang maut dalam kemalangan bot sungai di Nigeria, kata pihak berkuasa.
Bot kayu itu tenggelam pada pagi Sabtu di sebuah sungai berhampiran Bandar Gummi di negeri utara Zamfara, kata Hassan Dauran, Pengarah Agensi Pengurusan Bencana negeri, kepada agensi berita Jerman (dpa) pada Ahad.
Sepuluh penumpang berjaya diselamatkan, katanya, tetapi jumlah keseluruhan penumpang di atas bot itu masih belum dapat dipastikan pada Ahad, menurut Dauran.
Bot itu sarat dengan muatan hasil pertanian apabila ia terbalik.
Kemalangan bot kerap berlaku di negara paling padat penduduk di Afrika, yang mempunyai populasi sekitar 220 juta orang.
Nahas biasanya disebabkan oleh muatan berlebihan, keadaan bot yang buruk dan kekurangan langkah keselamatan. Bot kayu ringkas sering digunakan untuk mengangkut orang, haiwan dan barangan.
-- BERNAMA