AS$44 bilion didakwa lesap, Fernandez mahu saman kerajaan Macri

Astro Awani
Mac 2, 2021 08:45 MYT
Beliau mendakwa, AS$44 bilion yang dipinjam dari IMF lesap sebelum pentadbirannya mengambil alih pada 2019. - Gambar fail REUTERS
PRESIDEN Argentina Alberto Fernandez akan menyaman kerajaan terdahulu pimpinan Mauricio Macri susulan pinjaman tidak bertanggungjawab yang dibuat dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2019.
Fernandez mengumumkan telah mengarahkan peguam negara memulakan siasatan untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab ke atas penyelewengan terbesar dalam sejarah itu.
Beliau mendakwa, AS$44 bilion yang dipinjam dari IMF lesap sebelum pentadbirannya mengambil alih pada 2019.
"Ketika negara kehilangan akses kepada pembiayaan antarabangsa, kerajaan sebelum saya memohon pinjaman tertinggi dalam sejarah IMF.
"Sejumlah AS$44 bilion yang diterima oleh Argentina sebagai sebahagian daripada pinjaman itu hilang sebelum kami mengambil alih pentadbiran pada Disember 2019," katanya di Buenos Aires pada Isnin.
"Saya telah mengarahkan pihak berkuasa yang relevan supaya mereka secara rasmi membuat aduan jenayah bagi menentukan siapa dalam pentadbiran yang terlibat dalam penipuan dan penyelewengan terbesar itu," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Fernandez turut menjelaskan skandal vaksinasi di Argentina yang mengakibatkan menteri kesihatan meletak jawatan.
Tegasnya, peraturan vaksinasi harus dipatuhi dan harus dibetulkan jika ada pelanggaran.
Ini selepas laporan ada pegawai tertinggi dan rakan menteri kesihatan itu yang mendapat suntikan lebih awal daripada kumpulan lain.
Fernandez turut mengkritik pengedaran vaksin yang menyaksikan 90 peratus bekalan vaksin dunia diberikan kepada hanya 10 peratus negara.
#AS #IMF #Argentina #saman #presiden #vaksin #penyelewengan #vaksinasi #Mauricio Macri #Alberto Fernandez
;