44,000 larikan diri setiap hari - UNHCR
Agensi
Jun 19, 2018 07:46 MYT
Jun 19, 2018 07:46 MYT
HAMPIR 69 juta pelarian dilaporkan terpaksa melarikan diri dari perang, keganasan dan penganiyaan tahun lalu, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian, Filippo Grandi.
Krisis yang berterusan di Selatan Sudan, Congo dan penghijrahan etnik Rohingya sejak tahun lepas,
sekaligus meningkatkan jumlah keseluruhan perpindahan pada 2017 kepada 68.5 juta orang.
Daripada jumlah itu, 16.2 juta melarikan diri pada tahun lepas. Ia merekodkan purata lebih 44,000 orang melarikan diri sehari.
Pelarian etnik Rohingya antara yang perlu diberi tumpuan selepas tentera Myanmar melakukan pembersihan etnik . - Foto fail
Ada di antara mereka telah lama menjadi pelarian, malah ada yang terpaksa melarikan diri berulang kali.
“Konflik ini berterusan kerana kurangnya penyelesaian, tekanan berterusan terhadap orang awam di negara-negara konflik hingga mendorong mereka meninggalkan rumah mereka.
Sudah pasti, dengan krisis baru dan lebih buruk seperti krisis Rohingya, sudah tentunya menambah bilangan pelarian,” ujar Grandi dalam satu taklimat di Geneva, baru-baru ini.
Pelarian Syria pula terpaksa bertarung nyawa setiap hari meredah Laut Mediterranean bagi mencari kehidupan yang lebih sempurna. - Foto fail
Data UNHCR juga mendedahkan 85 peratus pelarian yang berada di negara-negara berpendapatan rendah sebenarnya sangat miskin.
“85 peratus daripada 68.5 juta pelarian adalah dari negara yang kurang membangun.
Kita perlu tangkis persepsi dunia - dimana kita hanya melihat krisis pada negara membangun dan tidak banyak krisis yang berlaku di dunia miskin,” katanya.
Tambahnya, daripada 193 negara, krisis pelarian hanya melibatkan 10 negara.
“Ia secara terangan kita tidak melihat kemajuan yang ketara dalam perdamaian atau pembangunan damai untuk 10 negara yang menghasilkan 70 peratus penduduk yang dipaksa berpindah."
Data itu didedahkan sempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut hari ini (Rabu).
Pelarian Lubnan juga turut bertarung nyawa melarikan diri dari negara mereka yang berperang. - Foto fail