438 penduduk kampung maut akibat banjir, tanah runtuh di DR Congo

Bernama
Mei 12, 2023 18:17 MYT
Sejak minggu lalu, hujan lebat dilaporkan di sebahagian kawasan negara itu dengan tanah runtuh kerap meragut nyawa penduduk semasa musim hujan. - Gambar Screengrab via Reuters
KINSHASA: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di timur Republik Demokratik Congo (DRC) mengorbankan 438 penduduk kampung, lapor media tempatan pada Khamis, memetik jurucakap kerajaan.
Menurut laporan rasmi terkini, kebanyakan mayat mangsa ditemukan di Bushushu dan Nyamukubi, dua kampung di wilayah Kivu Selatan yang terjejas teruk banjir akibat hujan lebat.
Jumlah penduduk yang hilang masih tidak diketahui, kata jurucakap Patrick Muyaya, lapor Xinhua.
Kerajaan pusat menghantar delegasi untuk menyokong operasi menyelamat di darat, kata Muyaya.
Sejak minggu lalu, hujan lebat dilaporkan di sebahagian kawasan negara itu dengan tanah runtuh kerap meragut nyawa penduduk semasa musim hujan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hampir 3,000 rumah terjejas dengan kira-kira 1,200 daripadanya musnah sepenuhnya. Pihak berkuasa tempatan menganggarkan lebih 5,000 orang masih hilang.
-- BERNAMA
#banjir #tanah runtuh #Republik Demokratik Congo #Bushushu dan Nyamukubi
;