42 pelajar terkandas selepas pasport dikoyak
Agensi
Mac 1, 2023 17:29 MYT
Mac 1, 2023 17:29 MYT
NEW YORK: Sekumpulan pelajar warga negara Britain yang dalam perjalanan bermain ski dilaporkan terkandas di Amerika Syarikat selepas pasport mereka dikoyak pihak hotel secara tidak sengaja.
Memetik BBC, seramai 42 pelajar sekolah Barr Beacon di West Midlands England sepatutnya tiba di England pada Sabtu lalu namun terpaksa menunggu sehingga dokumen perjalanan kecemasan mereka siap.
Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga memaklumkan tersembunyi hikmah di sebalik kejadian apabila kumpulan pelajar itu berpeluang menikmati lawatan di sekitar bandar New York sementara menunggu kedutaan British menyediakan dokumen perjalanan baharu.
Difahamkan, kumpulan pelajar itu sebelum ini menginap di Kancamagus Lodge di Lincoln, New Hampshire.
Guru Besar, Katie Hibbs turut memuji warga kerja yang menyertai rombongan ski itu kerana bertindak pantas selepas kejadian.
"Sejumlah 41 pasport telah rosak semasa mereka menginap di hotel di New Hampshire," katanya.
Dalam masa sama, salah seorang ibu kepada seorang pelajar yang tidak mahu namanya disiarkan berasa bimbang tentang keadaan anak perempuannya selemas menerima e-mel mengenai kejadian itu.
“Ia merupakan satu kejutan ngeri,” katanya ketika menerima berita itu.
Tetapi dia memberitahu, guru yang mengetuai lawatan itu bertindak balas dengan baik dan berkomunikasi dengan ibu bapa.
Dia juga memuji pihak sekolah kerana memastikan semua ibu bapa mengisi dokumen yang diperlukan dalam tempoh 24 jam.
Semasa penginapan mereka yang tidak dijadualkan di New York, para pelajar berpeluang melihat bandar dari feri Staten Island yang terkenal dan melawat Central Park.
Jurucakap Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK berkata, pegawai sedang memproses permohonan pihak sekolah untuk mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan secepat mungkin.