42 migran ditemui maut dalam lori
Astro Awani
Jun 28, 2022 10:40 MYT
Jun 28, 2022 10:40 MYT
TEXAS: Sekurang-kurangnya 42 dipercayai pendatang telah ditemui mati dalam sebuah treler di pinggir San Antonio, Texas.
Manakala, seramai 16 orang lagi telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut saluran media tempatan, TV KSAT, kenderaan itu ditemui berada bersebelahan dengan landasan kereta api di Southwest Side San Antonio.
Menurut New York Times, pegawai Jabatan Polis San Antonio sedang mencari pemandu kenderaan yang hilang dari tempat kejadian.
San Antonio, yang terletak di Texas terletak sekitar 250 kilometer dari sempadan AS-Mexico.
Gabenor Texas, Greg Abbott, menyalahkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden atas kematian itu dan menyifatkannya sebagai kesan daripada dasar sempadan terbuka yang membawa maut.
Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard, berkata konsulat negara itu dalam perjalanan ke lokasi kejadian itu, bagaimanapun kewarganegaraan mangsa masih tidak diketahui.
Tidak jelas bagaimana mereka boleh mati, malah polis tempatan masih belum mengulas secara terbuka.