42 maut akibat banjir di barat Jerman

Agensi
Julai 15, 2021 21:36 MYT
Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban di daerah Ahrweiler, Rhineland-Palatinate, selepas sungai Ahr, yang mengalir ke Sungai Rhine, melimpah. - Gambar/ Reuters
BERLIN: Sekurang-kurangnya 42 orang maut dan puluhan yang lain hilang susulan banjir teruk di barat Jerman.
Menurut pihak berkuasa, bencana banjir terburuk itu berlaku di Rhineland-Palatinate dan Rhine-Westphalia Utara yang menyaksikan bangunan dan kereta dihanyutkan arus.
Di daerah Ahrweiler, Rhineland-Palatinate sahaja, sekurang-kurangnya 19 orang terkorban selepas sungai Ahr, yang mengalir ke Sungai Rhine, melimpah.
Ketua Negeri Rhineland-Palatinate Malu Dreyer, menyifatkan banjir itu sebagai malapetaka.
"Ada yang mati, hilang dan ramai masih dalam bahaya," katanya.
"Semua perkhidmatan kecemasan kami sedang bertindak dan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri."
Sementara itu, Canselor Angela Merkel, yang berada di Amerika Syarikat menjelang pertemuan dengan Presiden Joe Biden, dalam reaksi segeranya berkata terkejut dengan bencana berkenaan.
Media negara itu melaporkan, helikopter polis dan ratusan tentera dikerahkan ke beberapa kawasan untuk membantu penduduk yang terkandas.
Terdahulu, polis berkata puluhan orang sedang menunggu di atas bumbung untuk diselamatkan.
Sekolah turut ditutup di sekitar barat negara itu, sementara jaringan pengangkutan terjejas teruk.
Sementara itu, sekurang-kurangnya enam orang maut di bandar Liège, di Belgium. Pihak berkuasa menggesa semua penduduknya untuk berpindah.
Belanda juga turut dilanda banjir teruk, yang merosakkan banyak kediaman di wilayah selatan Limburg.
#Jerman #banjir #hilang #Schuld Rhineland-Palatinate #rumah #runtuh #eropah #banjir buruk
;