42 lagi syahid di Gaza, dibunuh Israel
Astro Awani
Oktober 24, 2024 08:30 MYT
Oktober 24, 2024 08:30 MYT
GAZA: Serangan Israel di seluruh Gaza membunuh 42 orang pada Rabu ketika tentera Israel menceroboh dan melakukan pengepungan di bahagian utara wilayah Palestin, hospital dan mengarahkan penduduk menuju ke selatan.
Kementerian Kesihatan Gaza dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, mereka tidak akan dapat memulakan kempen vaksinasi polio di utara Gaza seperti yang dirancang kerana pengeboman, pemindahan besar-besaran dan kekurangan akses.
Tentera Israel memulakan operasi di utara kira-kira tiga minggu lalu dengan tujuan yang diisytiharkan untuk menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula.
Operasi itu semakin rancak sejak pembunuhan ketua Hamas Yahya Al-Sinwar seminggu lalu.
Sekutu Israel, termasuk Amerika Syarikat berkata, mereka berharap kematian Yahya dapat memberikan dorongan baru untuk keamanan dengan membenarkan Israel mengisytiharkan ia telah mencapai beberapa objektif utamanya di Gaza.
Tetapi setakat ini, tentera Israel nampaknya hanya memperhebatkan serangan mereka, terutamanya di kawasan utara.
Tentera Israel mengumumkan telah menghantar satu lagi unit tentera ke Jabaliya di pinggir utara Gaza.
Penduduk berkata, tentera telah mengepung tempat perlindungan, memaksa orang yang terlantar meninggalkan tempat itu sambil menangkap ramai lelaki.
Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 650 orang telah terbunuh sejak serangan baharu itu bermula.
Daripada sekurang-kurangnya 42 orang yang dilaporkan terbunuh oleh serangan tentera Israel pada Rabu, 37 kematian adalah di utara Gaza.
Pegawai kesihatan dan kecemasan awam berkata, berpuluh-puluh mayat rakyat Palestin yang terkorban akibat tembakan Israel di dalam dan sekitar Jabaliya bertaburan di tepi jalan dan di bawah runtuhan.
Hospital di utara sama ada berhenti menyediakan perkhidmatan perubatan atau hampir tidak beroperasi kerana serangan itu.