41 mayat ditemukan selepas perlanggaran udara dekat ibu negara AS - Ketua bomba
Bernama
Februari 1, 2025 11:45 MYT
Februari 1, 2025 11:45 MYT
WASHINGTON: Pasukan mencari dan menyelamat menemukan 41 mayat di Sungai Potomac selepas insiden perlanggaran udara maut berhampiran Washington DC pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA) dengan memetik Ketua Perkhidmatan Bomba dan Perubatan Kecemasan (EMS) bandar itu, John Donnelly, pada Jumaat.
"Kami telah menemukan 41 mayat dan 28 daripada mangsa telah dikenal pasti; setakat 6 pagi ini, pemberitahuan kepada waris terdekat telah dibuat kepada 18 keluarga," kata Donnelly kepada pemberita.
Seramai 67 orang maut selepas sebuah helikopter tentera bertembung dengan pesawat jet serantau American Airlines berhampiran Ronald Reagan Washington National Airport, sebelum terhempas ke dalam Sungai Potomac lewat Rabu.
"Kami menjangkakan dapat menemukan semua mayat," kata Donnelly sambil menambah bahawa pasukan penyelamat masih meneruskan operasi.
Beliau turut memaklumkan, keadaan cuaca mungkin memperlahankan usaha pencarian "sedikit, tetapi semua unit dan anggota sedang berusaha di lokasi."
"Saya percaya, bagi membolehkan kami menemukan baki mayat, kami perlu mengeluarkan rangka pesawat dari dalam air," tambahnya. - BERNAMA