4 tertuduh kes rogol Delhi didapati bersalah merogol dan membunuh
AFP
September 10, 2013 16:47 MYT
September 10, 2013 16:47 MYT
Empat lelaki yang dituduh merogol seorang pelajar perempuan, 23, di dalam bas di New Delhi Disember tahun lalu didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan merogol dan membunuh.
Hakim Yogesh Khanna mensabitkan kesemua tertuduh dengan tuduhan merogol, berkelakuan di luar tabii, memusnahkan bukti dan melakukan pembunuhan terhadap mangsa yang tidak berdaya.
Ramai yang menanti-nanti keputusan itu dan keputusan itu tersebar dengan pantas di media sosial seperti Twitter dan Facebook.
Sebelum ini lima suspek, Mukesh Singh, Akshay Thakur, Pawan Gupta dan Vinay Sharma yang dituduh merogol dan membunuh mangsa pada 16 Disember membuat pengakuan tidak bersalah dan mahu dibicarakan.
Seorang lagi tertuduh juvana telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan lelaki kelima iaitu pemandu bas tersebut, Ram Singh telah ditemui mati di penjara dengan menggantung dirinya Mac lalu semasa menunggu perbicaraan.
Dalam kejadian 16 Disember lalu, mangsa bersama teman lelakinya diserang suspek terbabit ketika sedang menaiki bas untuk pulang ke rumah selepas menonton wayang.
Menurut laporan polis, teman lelaki mangsa cedera parah kerana dipukul dengan batang besi.
Manakala mangsa wanita mengalami kecederaan dalaman yang teruk selepas dirogol dan dipukul dengan senjata yang sama.
Mangsa kemudian dicampak di tepi jalan dalam keadaan bogel.
Dua minggu selepas itu, mangsa menemui ajal ketika dirawat di sebuah hospital di Singapura.