4 tahun tunggu di tepi jalan, anjing ini akhirnya bertemu semula tuannya
Agensi
September 14, 2019 21:06 MYT
September 14, 2019 21:06 MYT
SEEKOR anjing yang hilang di Thailand akhirnya ditemukan semula dengan pemiliknya selepas menunggu lebih empat tahun di tepi jalan raya.
Pada 5 September lalu, seorang netizen Thai berkongsi kisah anjing yang telah setia menunggu tuannya di tempat yang sama (tepi jalan) selama empat tahun, lapor China Press.
Menurut netizen itu, anjing yang dinamakan Leo itu pertama kali dilihat oleh seorang pejalan kaki.
Ia dilaporkan sesat, tanpa makanan atau air selama beberapa hari. Malah, ia juga mula kehilangan bulu dan menderita akibat penyakit kulit.
Pejalan kaki itu kemudiannya mula memberikan anjing itu makanan dan cuba membawanya pulang untuk menjaganya.
Bagaimanapun, ia kembali ke lokasi yang sama dia ditemui dan tidak mahu tinggal di rumah pejalan kaki berkenaan.
Menyedari haiwan itu tidak mahu mengikutinya pulang, dia mengambil keputusan untuk tetap memberikan makanan kepadanya selama empat tahun.
Selepas kisah itu menjadi tular di Thailand, seorang netizen tampil dengan satu komen yang mula bertanyakan mengenai haiwan itu.
Jelasnya, anjing berkenaan seakan-akan anjing sepupunya, BonBon, yang telah hilang selama empat tahun.
Dia kemudiannya pergi ke jalan tersebut untuk mengesahkan sama ada ia adalah anjing yang sama.
Ternyata, ia sememangnya anjing milik sepupunya yang hilang selama empat tahun.
Leo, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila bertemu kembali dengan tuan lamanya.
Tuannya turut menjelaskan bahawa anjing tersebut hilang ketika dia berhenti di persimpangan dan dia menganggap bahawa anjingnya itu telah bertemu dengan pemilik yang baharu.
Bagaimanapun, Leo kini tidak pulang ke rumah tuannya. Dia mengambil keputusan untuk terus bersama dengan pejalan kaki yang memberinya makan selama empat tahun ketika ia sesat.
#anjing bertemu semula tuan
#anjing tunggu tepi jalan
#BonBon
#dog thailand
#empat tahun
#empat tahun menunggu
#Leo