4 singa Asia di Singapura positif COVID-19

Bernama
November 9, 2021 04:15 MYT
AVS mengeluarkan arahan kepada Mandai Wildlife Group supaya mengasingkan kesemua sembilan singa Asia dan lima singa Afrika di kandang masing-masing, termasuk yang bergejala. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Empat ekor singa di Singapore Night Safari disahkan positif COVID-19, lapor The Straits Times pada Selasa.
AVS, agensi di bawah Lembaga Taman Negara telah melakukan ujian tindak balas berantai polimerase untuk virus Sars-CoV-2 ke atas sampel singa berkenaan dan mendapai keempat-empatnya positif virus itu.
Seekor singa Afrika di Zoo Singapura juga telah menunjukkan simptom yang sama pada 8 Nov dan sampelnya juga sedang diuji.
Haiwan tersebut mungkin dijangkiti virus daripada kakitangan Mandai Wildlife Group yang menguruskan operasi taman berkenaan yang positif COVID-19, menurut laporan itu.
Berikutan itu, AVS telah mengeluarkan arahan kepada Mandai Wildlife Group supaya mengasingkan kesemua sembilan singa Asia dan lima singa Afrika di kandang masing-masing. Ini termasuk empat singa Asia dan seekor singa Afrika yang bergejala.
AVS bekerjasama dengan kumpulan itu untuk memantau rapat kesihatan singa berkenaan dan akan turut melakukan ujian ke atas sampel singa yang lain.
-- BERNAMA
#Mandai Wildlife Group #zoo Singapura #Singapore Night Safari #singa positif COVID-19
;