4 sekeluarga terkorban, 3 cedera dalam letupan di Bangkok - Duta Malaysia
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 18, 2015 21:03 MYT
Ogos 18, 2015 21:03 MYT
Empat warga Malaysia terkorban manakala tiga lagi cedera dalam insiden letupan di Bangkok.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain ketika mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANi berkata enam daripada mereka adalah daripada keluarga yang sama.
Terdahulu Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan media awal mengesahkan bahawa dua warga Malaysia terkorban dalam insiden letupan bom di daerah Ratchaprasong, Thailand pada Isnin itu.
Angka korban kemudiannya meningkat kepada empat mangsa.
Mangsa yang maut adalah Lee Tze Siang, 33 dan anak beliau, Lee Jing Xuan 4, Lim Saw Gek, 49 dan anak beliau, Neoh Jai Jun, 20.
Mendiang Lee Tze Siang dan Lee Jing Xuan kini ditempatkan di Hospital Besar Polis dan Hospital Chulalongkorn masing-masing bagi urusan bedah siasat.
Seorang mangsa yang cedera Neoh Hock Guan kini menerima rawatan di Hospital Besar Polis
Manakala Tan Rui Hun dimasukkan ke Hospital Hua Chiew untuk rawatan lanjut, manakala Tan Kim Siok telah dibenarkan keluar dari hospital setelah menerima rawatan.
Sementara itu Kedutaan Malaysia di Thailand telah mengarahkan syarikat pengurusan mayat untuk menyegerakan proses membawa pulang mayat mangsa letupan bom di Bangkok, Isnin lalu.
Bagaimanapun Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata pihak hospital yang melakukan bedah siasat masih belum memberi kelulusan tuntutan mayat kerana beberapa proses pendokumentasian perlu dilakukan.
"Kami sudah usahakan supaya syarikat pengurusan mayat (melakukan proses) penghantaran pulang jasad (mangsa) ke Malaysia.
"Tapi masa kini, hospital kena serah dahulu mayat (setelah bedah siasat selesai)...banyak (proses) dokumentasi perlu disiapkan," kata Nazirah.
Katanya, proses penghantaran pulang mayat akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
"Kami mohon supaya syarikat itu mempercepatkan (proses) dan dapat dibawa pulang (mayat) Insyallah esok, paling lama lusa," kata Nazirah.
Wisma Putra pada Selasa mengesahkan empat warga Malaysia maut dan tiga lagi cedera dalam letupan di tengah kota Bangkok pada Isnin.
Mangsa yang maut adalah Lee Tze Siang dan anak beliau, Lee Jing Xuan, Lim Saw Gek dan anak beliau, Neoh Jai Jun.
Nazirah pada masa sama turut menasihati rakyat Malaysia yang berhasrat untuk berada di Thailand dalam tempoh masa yang panjang supaya membuat pendaftaran secara online menerusi laman web Kedutaan Malaysia di Thailand.
Wisma Putra dalam kenyataan lewat petang Selasa turut mengumumkan pembukaan Bilik Gerakan Insiden Letupan di Bangkok.
Mana-mana pihak yang memerlukan maklumat terkini boleh menghubungi bilik gerakan berkenaan seperti butiran di bawah:
Hari Bekerja: 8 pagi hingga 8 malam
Nombor telefon: +662-629 6800 dan +6687 028 4659
+6687 028 4659 (selepas jam 8 malam)
Hari Minggu: 9 pagi hingga 5 petang
Nombor telefon: +662-629 6800 dan +6687 028 4659
+6687 028 4659 (selepas jam 5 petang)
Dalam perkembangan sama, penganalisis keselamatan Asia Tenggara berpendapat sukar mengaitkan serangan terbaharu di tengah ibu kota Bangkok dengan pemberontak selatan Thailand.
Menurutnya, letupan bom pada Isnin malam itu tidak sama seperti siri keganasan sebelum ini
Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh termasuk pelancong dan berpuluh lagi cedera apabila sebutir bom meletup pada Isnin di luar sebuah kuil yang sering dikunjungi pelancong.
Letupan berlaku sekitar jam 7 malam (8 malam waktu Malaysia).