4 pengeluar kereta di Korea Selatan panggil balik 457,000 kenderaan

Bernama
Jun 26, 2024 19:30 MYT
Hyundai Motor akan memanggil semula 236,518 unit bagi dua model berbeza, termasuk G80 kerana kecacatan reka bentuk pada 'starter' enjin. - Gambar hiasan/ Reuters
SEOUL: Empat pengeluar kereta tempatan dan asing di Korea Selatan akan memanggil semula 457,000 kenderaan kerana kecacatan pengeluaran, menurut kementerian pengangkutan pada Rabu, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, Hyundai Motor akan memanggil semula 236,518 unit bagi dua model berbeza, termasuk G80 kerana kecacatan reka bentuk pada 'starter' enjin.
Ketahanan yang lemah pada unit kawalan elektronik hidraulik (HECU) menyebabkan 37,169 unit bagi dua model Hyundai termasuk Maxcruz dipanggil balik.
Selain itu, 18,397 unit versi hibrid Hyundai Santa Fe akan dipanggil balik kerana ralat perisian dalam sistem brek elektronik.
Kia Corp pula akan memanggil semula 157,188 unit Sportage kerana isu ketahanan rendah pada HECU yang menimbulkan risiko kebakaran.
Volkswagen Group Korea akan memperbaiki ralat perisian dalam sistem kawalan maklumat dan elektronik pada 4,886 unit model ID.4 82kWh, manakala Tesla Korea akan memanggil semula 2,819 unit daripada empat model, termasuk Model 3 kerana sistem amaran tali pinggang keledar yang rosak.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #syarikat pengeluar kereta #recall #kecacatan pengeluaran
;