4 maut setelah keluarga Islam sengaja dilanggar pemandu pikap di Kanada
Bernama
Jun 8, 2021 13:17 MYT
Jun 8, 2021 13:17 MYT
TRENTON (Kanada): Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Isnin menzahirkan kesedihannya di atas kematian empat anggota keluarga Islam yang terbunuh ketika pemandu sebuah trak pikap dengan sengaja melanggar mereka di London, Ontario, lapor Agensi Anadolu.
"Saya terkejut dengan berita dari London, Ontario," kata ciapan Perdana Menteri. "Kepada ahli keluarga mangsa tindakan kejam semalam (Ahad), kami bersama anda.
"Islamofobia tidak diterima dalam komuniti kita. Kebencian ini berbahaya dan keji - dan mesti dihentikan. "
Seorang lagi anggota keluarga malang itu, kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, juga dilanggar dan kini berada di hospital dalam keadaan serius tetapi stabil.
"Kami juga sentiasa berada bersama anak itu yang berada di hospital - anda akan sentiasa berada dalam hati kami," kata Trudeau.
Walaupun nama-nama mangsa belum didedahkan, polis mengatakan mangsa yang maut adalah wanita berusia 74 tahun, seorang lelaki, 46, seorang wanita, 44, dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8:40 malam Ahad.
Menurut polis pemandu itu yang memakai perisai badan ditangkap tidak lama kemudian, kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian.
Pemandu, Nathaniel Veltman, 20, telah didakwa dengan empat tuduhan bunuh dan satu tuduhan cubaan membunuh, kata polis.
"Terdapat bukti bahawa ia tindakan terancang, dan keluarga itu menjadi sasaran kerana beragama Islam," kata Inspektor Detektif Polis London, Paul Waight pada taklimat media.
Dalam sidang media maya pada Isnin, Datuk Bandar London turut mengecam jenayah itu.
"Biar saya jelaskan, ini adalah tindakan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan terhadap umat Islam, terhadap warga London, dan berpunca daripada kebencian," kata Datuk Bandar Ed Holder.
Menurut polis keluarga itu yang sedang berjalan berhenti untuk menyeberang di simpang ketika trak itu dipandu ke tepi jalan dan melanggar mereka. Veltman dijadualkan hadir di mahkamah pada Isnin nanti.
--BERNAMA
#Justin Trudeau
#perdana menteri kanada
#keluarga muslim
#jenayah kebencian
#hate crimes
#Ontario
#Kanada
#Canada
#Umat Islam
#London