4 maut, jutaan terputus bekalan elektrik ketika hurikan Beryl landa Texas

Bernama
Julai 9, 2024 13:43 MYT
Pusat Taufan Kebangsaan AS mengeluarkan amaran untuk beberapa bahagian Texas dan Louisiana mengenai kemungkinan puting beliung, banjir kilat, dan angin kencang. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Empat orang maut di Texas ketika ribut tropika Beryl terus bergerak melalui negeri itu, kata Datuk Bandar Houston pada Isnin manakala jutaan penduduk masih terputus bekalan elektrik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut pengerusi syarikat yang mengendalikan bekalan elektrik, kira-kira dua hingga tiga juta isi rumah terjejas dan usaha memulihkan bekalan elektrik mungkin mengambil masa beberapa hari.
Sementara itu, puting beliung melanda Jasper County, di sempadan dengan negeri Louisiana, memusnahkan kira-kira 30 rumah.
Beryl mendarat sebagai hurikan berhampiran bandar Matagorda di Texas, kira-kira 130 kilometer barat daya Houston, awal pagi Isnin tetapi kehilangan kekuatan sejak itu.
Pusat Taufan Kebangsaan AS mengeluarkan amaran untuk beberapa bahagian Texas dan Louisiana mengenai kemungkinan puting beliung, banjir kilat, dan angin kencang.
Ahli meteorologi berkata terdapat risiko berterusan lonjakan ribut yang mengancam nyawa di sepanjang Pantai Teluk.
Mereka meramalkan Hurikan Beryl akan terus bergerak ke arah timur laut dalam beberapa hari akan datang sambil semakin lemah.
Beryl terbentuk di Atlantik pada akhir Jun dan melanda tenggara Caribbean pada 1 Julai.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Ribut Tropika #Beryl #Texas
;