4 maut dalam insiden tembakan rambang di Illinois

Astro Awani
Januari 10, 2021 05:30 MYT
Tiga terbunuh manakala empat yang lain cedera dalam beberapa siri tembakan oleh seorang lelaki di Evanston, Illinois, Amerika Syarikat. -AP
ILLINOIS: Tiga terbunuh manakala empat yang lain cedera dalam beberapa siri tembakan oleh seorang lelaki di Evanston, Illinois, Amerika Syarikat.
Siri tembakan itu berlarutan empat jam sebelum berakhir dengan polis menembak mati suspek.
Siasatan awal mendedahkan penembak Jason Nightengale, 32, mula melepaskan tembakan kepada mangsa pertama, seorang penuntut University of Chicago, 30, yang sedang duduk di dalam keretanya.
Penembak kemudian masuk ke sebuah pangsapuri yang terletak tidak jauh dari lokasi pertama dan menembak seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun dan wanita berusia 77 tahun.
Suspek kemudian dilaporkan menuju ke bangunan lain dan melepaskan tembakan yang membunuh seorang lelaki berusia 20 tahun dan mencederakan seorang wanita berusia 81 tahun di kepala dan leher.
Dia juga cuba menembak anggota polis yang menyiasat di premis itu namun gagal.
Ketika cuba mendapatkan rawatan di farmasi, suspek sempat melepaskan tembakan yang terkena seorang lagi mangsa.
Suspek kemudian ditembak mati anggota polis di kawasan parkir.
Ketika ini, pegawai penyiasat sedang mengenal pasti motif serangan.
#siri tembakan #Jason Nightengale #penuntut University of Chicago #Evanston #Illinois
;