39 terkorban kebakaran di pusat tahanan migran
Astro Awani
Mac 28, 2023 07:30 MYT
Mac 28, 2023 07:30 MYT
SEKURANG-kurangnya 39 orang terbunuh dalam kejadian kebakaran di pusat pemprosesan migran di Mexico pada Isnin.
Kebanyakan mangsa dipercayai warga Venezuela yang ingin memasuki Amerika Syarikat (AS).
Kejadian di Ciudad Juarez itu berlaku pada jam 10 malam waktu tempatan dan dipercayai berlaku ketika satu tunjuk perasaan yang diadakan bagi menentang usaha pengusiran.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini ramai migran berpusu-pusu ke sempadan AS dengan harapan pengakhiran polisi Title 42.
Polisi ini dikuatkuasakan ketika era pandemik COVID-19 yang memberi kuasa kepada kerajaan AS untuk mengusir migran dengan mudah.
Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador memaklumkan beberapa migran telah membakar tilam di pusat berkenaan.
"Kebakaran ini berpunca daripada tunjuk perasaan yang diadakan selepas mengetahui mereka akan diusir," katanya.
Media tempatan melaporkan kumpulan migran ini ditahan pada Isnin dan dibawa ke pusat terlibat.
Polisi Title 42 memberi kuasa kepada pegawai imigresen AS untuk tidak membenarkan migran memasuki AS bagi "menghalang menyebaran penyakit berjangkit".
Ia pertama kali dilaksanakan pada permulaan pandemik COVID-19 tercetus.
Namun pentadbiran Biden mengumumkan ia bakal menghentikan polisi yang dilaksanakan ketika pentadbiran Trump itu.