39 penunjuk perasaan antikudeta Myanmar terbunuh

Agensi
Mac 14, 2021 07:09 MYT
Sekurang-kurangnya 39 penunjuk perasaan antikudeta terbunuh setakat ini ketika peserta demonstrasi di seluruh Myanmar terus cuba membantah pemerintahan tentera di negara itu. -REUTERS
YANGON: Sekurang-kurangnya 39 penunjuk perasaan antikudeta terbunuh setakat ini ketika peserta demonstrasi di seluruh Myanmar terus cuba membantah pemerintahan tentera di negara itu.
Reuters melaporkan, daripada jumlah itu, 22 mangsa dilaporkan maut di pinggir bandar Hlaingthaya dalam serangan yang mengakibatkan sebuah kilang pakaian milik China terbakar.
Kumpulan pemantau Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) pula mengesahkan 16 lagi penunjuk perasaan dan seorang anggota polis terbunuh di lain-lain lokasi.
Insiden disifatkan sebagai peristiwa berdarah paling mengerikan sejak berlakunya rampasan kuasa dan penahanan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Kedutaan China memaklumkan beberapa rakyat mereka turut cedera dan terperangkap dalam serangan yang dilakukan oleh individu tidak dikenali di bandar Hlaingthaya.
Justeru, pihak kedutaan meminta bantuan pasukan keselamatan Myanmar untuk memberi perlindungan kepada rakyat serta harta mereka.
Beijing sebelum ini dituduh menyokong rampasan kuasa di Myanmar. Namun diplomat tertinggi kerajaan China, Kaunselor Negara dan Menteri Luar Wang Yi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Menurut laporan media tempatan, dalam kejadian itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
"Ia sesuatu yang mengerikan, orang ramai ditembak polis depan mata," kata seorang wartawan foto yang enggan namanya didedahkan.
Dalam pada itu, stesen televisyen Myawadday yang dikendalikan tentera Myanmar melaporkan pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai kebakaran empat kilang pakaian dan satu kilang baja.
Mereka bagaimanapun dihalang kira-kira 2,000 penunjuk perasaan.
Jurucakap junta setakat ini belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
#Myanmar #krisis politik #China #Aung San Suu Kyi #rampasan kuasa #Angkatan Tentera #Penunjuk perasaan #AAPP #antikudeta
;