39 penumpang terperangkap lebih 4 jam di Tiger Sky Tower di Sentosa

Astro Awani
Ogos 12, 2017 21:13 MYT
Tiga puluh sembilan penumpang dilapor terperangkap di atas menara Tiger Sky Tower di Sentosa petang Sabtu. -www.sentosa.com.sg
Tiga puluh sembilan penumpang terperangkap lebih empat jam di atas menara berputar Tiger Sky Tower di Sentosa petang Sabtu.
Antara yang terperangkap termasuk empat kanak-kanak.
Menurut satu kenyataan oleh Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di Facebook, kejadian dimaklumkan kira-kira jam 7.10 malam.
Penumpang dipercayai terperangkap sejak jam 5:35 petang ini. Mereka dibekalkan makanan ringan berupa biskut dan air minuman sementara menunggu diselamatkan.
Sentosa Development Corporation (SDC) dalam satu kenyataan berkata operasi Sky Tower digantung pada jam 5.35 petang ini susulan masalah mekanikal.
"Ketika kejadian, 38 penumpang dan seorang operator berada di dalam gondola. Staf teknikal Sky Tower di lokasi bergegas memulih semula sistem operasi.
“Air botol dan makanan diedar kepada tetamu ketika jurutera dari Sky Tower berusaha menurunkan gondola. Kapsul itu juga ada tandas mudah alih," kata SDC.
Menurut laporan portal Straits Times, Sentosa Rangers dipanggil bagi membantu jurutera Sky Tower menurunkan kapsul secara manual.
Kapsul itu berjaya diturunkan dan tiada kecederaan dilaporkan.
Operasi menyelamat yang bermula sejak petang tadi tamat pada jam 9.44 malam Sabtu.
Menurut SDC lagi, punca kejadian sedang disiasat dan menara Tiger Sky Tower ditutup sehingga diberitahu kelak.
Pada ketinggian 131 meter dari paras laut, menara berputar yang terletak di Jalan Imbiah ini ialah menara pemerhatian tertinggi di sini, menurut laman web Sentosa.
#penumpang terperangkap #Sentosa #Singapura #Tiger Sky Tower
;