39 maut, 80 cedera serangan masjid Afghanistan

Sinar Harian
Ogos 3, 2018 07:34 MYT
Seorang kanak-kanak sedang dirawat selepas cedera teruk akibat serangan masjid di Afghanistan, pada Jumaat. - Foto AP
Tiga puluh sembilan orang dilaporkan maut dalam pengeboman nekad di sebuah masjid di timur Afghanistan dan angka kematian dijangka meningkat, kata pegawai polis semalam.
Menurut Ketua Polis Paktia, Raz Mohammad Mandozai, dua individu memakai burqa menyerang masjid di bandar Gardez ketika lebih 100 jemaah menunaikan solat Jumaat, semalam.
80 mangsa cedera apabila kedua-duanya melepaskan tembakan dan menghidupkan bom di masjid Khawaja Hassan.
Sementara itu, Hospital Gardez melaporkan menerima sekurang-kurangnya 50 dewasa dan 20 kanak-kanak yang cedera dalam serangan berkenaan.
Pegawai kanan kerajaan, Abdullah Hazrat, berkata salah seorang penyerang melepaskan tembakan ke arah jemaah, manakala seorang lagi meletupkan dirinya.
Pengawal keselamatan yang ditempatkan di masjid itu dikatakan menembak seorang lagi penyerang.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan. - Reuters
#Afghanistan #Gardez #Hospital Gardez #Kabul #Khawaja Hassan #Raz Mohammad Mandozai #serangan masjid #Solat Jumaat
;