38 rakyat Lubnan maut diserang tentera Israel

Agensi
September 21, 2024 07:00 MYT
Asap tebal kelihatan dari Jabal al-Rihan, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan yang berterusan antara Hezbollah dan Israel. – Gambar Reuters
BEIRUT/JERUSALEM: Pasukan penyelamat di Beirut sedang gigih mencari mangsa yang masih hilang di bawah runtuhan pada hari Sabtu selepas serangan udara oleh Israel yang menyasarkan komander Hezbollah pada hari sebelumnya.
Serangan terbaharu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang di sebuah kawasan pinggir ibu negara Lubnan, menurut pihak berkuasa.
Hezbollah, kumpulan pejuang yang disokong oleh Iran berkata, 16 anggotanya termasuk komander kanannya, Ibrahim Aqil dan seorang lagi komander, Ahmed Wahbi merupakan antara yang terbunuh dalam serangan paling dahsyat dalam hampir setahun konflik dengan Israel.
Tentera Israel mendakwa, mereka menyerang bahagian bawah tanah sebuah premis ketika Ibrahim dan pemimpin pasukan elit Radwan Hezbollah sedang bermesyuarat dan hampir sepenuhnya membongkar rangkaian komando ketenteraan pasukan berkenaan.
Serangan tersebut menyebabkan sebuah bangunan kediaman bertingkat di kawasan padat penduduk runtuh selain merosakkan sebuah tadika bersebelahan, kata sumber keselamatan.
Tiga kanak-kanak dan tujuh wanita termasuk dalam kalangan yang terkorban, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan rentas sempadan berterusan pada hari Sabtu dengan Jet pejuang Israel melancarkan pengeboman paling berat dalam tempoh 11 bulan pertempuran di seluruh selatan Lubnan.
Dalam masa sama, Hezbollah mendakwa telah melancarkan serangan roket ke atas sasaran ketenteraan di utara Israel.
Tentera Israel turut membuat dakwaan rejim Zionis telah menyerang kira-kira 180 sasaran selain memusnahkan ribuan laras pelancar roket.
Serangan pada hari Jumaat itu secara mendadak meningkatkan konflik dan memberikan satu lagi tamparan kepada Hezbollah selepas dua hari serangan pada minggu ini sehingga menyebabkan alat kelui dan walkie-talkie yang digunakan oleh anggotanya meletup.
Jumlah kematian dalam serangan tersebut telah meningkat kepada 39 orang, dan lebih daripada 3,000 orang cedera.
Serangan ke atas peranti komunikasi dipercayai dilakukan oleh Israel, walaupun negara itu tidak mengesahkan atau menafikan penglibatannya.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, membatalkan perjalanan yang dirancang ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. - Agensi
#letupan lubnan #Israel serang Lubnan #Hezbollah #komander Ibrahim Aqil
;