37 rakyat Palestin maut dalam serangan udara di Gaza
Bernama
Disember 12, 2024 15:32 MYT
Disember 12, 2024 15:32 MYT
GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 37 warga Palestin terbunuh dalam siri serangan udara tentera Israel pada pagi Khamis, yang menyasarkan pengiring trak bantuan serta rumah-rumah yang menempatkan pelarian di seluruh Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 37 warga Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, termasuk di Rafah, Khan Younis, dan Gaza City. Serangan ini juga menyebabkan ramai cedera.
- Israel menerima kecaman antarabangsa atas tindakannya mengehadkan bantuan ke Gaza dan menyasarkan mereka yang mengedarkan bantuan kemanusiaan. Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant.
- Israel menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 44,800 orang sejak Oktober 2023.
Menurut sumber perubatan, serangan udara di kawasan barat Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza meragut nyawa 15 rakyat Palestin, manakala 30 lagi dilaporkan cedera.
Israel menerima kecaman antarabangsa atas tindakannya mengehadkan bantuan ke wilayah itu hingga menyebabkan jutaan penduduk berada di ambang kebuluran, selain turut menyasarkan mereka yang mengedarkan dan menerima bantuan kemanusiaan.
Di tengah Gaza, 15 lagi warga Palestin terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah rumah milik keluarga Habbash di kem pelarian Nuseirat barat.
Sementara itu, tujuh warga Palestin termasuk kanak-kanak turut terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara ke atas sebuah bangunan di Gaza City.
Pada Okt 2023, Israel melancarkan perang terhadap Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 44,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada 21 Nov, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza.
-- BERNAMA