37 militan al-Shabaab maut dalam dua serangan udara AS di Somalia
Bernama
November 21, 2018 19:39 MYT
November 21, 2018 19:39 MYT
Seramai 37 militan al-Shabaab maut dalam dua serangan udara dilancarkan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Debatscile, Somalia.
Menurut kenyataan Komando Tentera AS di Afrika, serangan pada Isnin itu turut melibatkan tentera Somalia.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa membabitkan orang awam dilaporkan.
Al-Shabaab melancarkan pemberontakan di Somalia lebih sedekad, menyaksikan puluhan ribu nyawa terkorban dan jutaan penduduk hilang tempat tinggal.
Tentera AS dan Kesatuan Afrika ditugaskan untuk memerangi kumpulan militan itu.
Pada peringkat awal penglibatan tentera AS pada tahap minimum, Presiden Donald Trump kemudian memberikan kuasa lebih banyak untuk pasukan itu meningkatkan serangan.
AFRICOM dalam satu kenyataan berkata pasukannya akan terus bekerjasama dengan tentera Somalia tempatan untuk menghapuskan ancaman al-Shabaab.
-- BERNAMA-NNN-AGENSI