36 terbunuh dalam serangan udara di Afrin

Agensi
Mac 4, 2018 11:47 MYT
Serangan berlaku sekitar pukul 5 hingga 10 pagi waktu tempatan. REUTERS
Sekurang-kurangnya 36 orang disahkan terbunuh dalam serangan udara terbaharu di barat laut Afrin pada Sabtu.
Serangan didakwa dilancarkan tentera Turki yang mensasarkan kedudukan pasukan tentera rejim Bashar Al Assad.
Menurut Badan Pemerhati Kemanusiaan Syria, serangan terbabit mensasarkan kem Kafr Jina yang terletak di kawasan yang dikuasai kumpulan Kurdish.
Ia merupakan serangan kali ketiga dalam tempoh 48 jam di wilayah sama.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan tentera Syria, serangan berlaku sekitar pukul 5 hingga 10 pagi waktu tempatan.
Kenyataan terbabit bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah dan identiti sebenar mangsa yang terkena serangan terbabit.
Sementara itu, di Damsyik, satu serangan udara telah dilancarkan di bandar Al-Shayfouniya di timur Ghouta pada Sabtu.
Serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang awam.
Jurucakap Kumpulan Jaish Al Islam di laman Twitter pula menyebut serangan turut dilancarkan tentera rejim Bashar di kawasan Al-Rayhan namun tidak menyebut jumlah korban.
#serangan #Syria #tentera #Turki
;