36 maut, puluhan lagi cedera kebakaran di Maui

Astro Awani
Ogos 11, 2023 08:45 MYT
Pandangan dari udara kebakaran yang melanda Pulau Maui di Hawaii, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
LAHAINA: Kebakaran di Pulau Maui, Hawaii telah meragut 36 nyawa, menjadikannya jumlah korban paling tinggi di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebakaran yang bermula pada Selasa merebak melalui tumbuhan kering di bandar bersejarah Lahaina, yang merupakan destinasi pelancongan terbesar.
Pasukan daerah Maui berkata bahawa sekurang-kurangnya 36 maut, tetapi angka itu mungkin meningkat apabila pasukan penyelamat tiba di bahagian pulau yang tidak dapat dicapai termasuk jalan yang terputus.
Pegawai berkata sebelum ini bahawa 271 bangunan telah rosak atau musnah dan puluhan cedera.
Ia merupakan kebakaran paling besar sejak kebakaran Kem 2018 di California, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 85 orang maut.
Kebakaran ditiup angin kencang dari Taufan Dora yang melintasi jauh ke selatan.
Kejadian ini adalah yang terbaru dalam siri bencana yang disebabkan oleh cuaca melampau di seluruh dunia pada musim panas ini.
Pakar berkata perubahan iklim meningkatkan kemungkinan kejadian sedemikian.
Sementara itu para pelancong diminta meninggalkan Maui susulan kebakaran hutan yang telah meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan berpindah.
Pemangku Gabenor Hawaii, Sylvia Luke dalam satu pengumuman tergempar berkata semua perjalanan yang tidak penting ke Pulau Maui tidak digalakkan.
Keadaan kecemasan berkuat kuasa untuk seluruh negeri sehingga akhir bulan ini.
Bagaimanapun setakat ini kebakaran hanya berlaku di Maui dan bahagian barat laut pulau besar Hawaii.
Sementara itu, Presiden Joe Biden telah meluluskan pengisytiharan bencana untuk Hawaii, membuka jalan bagi bantuan persekutuan.
White House membuat pengumuman berkenaan pada Khamis.
Pembiayaan persekutuan akan termasuk geran untuk perumahan sementara dan pembaikan rumah, pinjaman kos rendah untuk menampung kemusnahan harta benda yang tidak diinsuranskan dan program lain untuk penduduk Maui.
Ia juga termasuk perniagaan yang mengalami kerugian akibat kebakaran.
Biden bercakap dengan Gabenor Hawaii Josh Green melalui telefon dan mengucapkan takziah ke atas nyawa yang terkorban dan tanah yang musnah akibat kebakaran hutan.
#kebakaran hutan #angka korban #Taufan Doran #Destinasi pelancongan
;